Turki terkenal dengan mempunyai banyak kota tersembunyi dan kota lama di bawah tanah. Kebanyakannya berada di Cappadocia. Sungguhpun begitu, sebuah takungan air terbesar di bawah tanah berada di Istanbul dan dikenali sebagai Basilica Cistern ataupun Yerebatan Sarnıcı oleh penduduk Turki yang membawa maksud Sunken Palace.
Basilica Cistern ni baru sahaja dibuka semula pada Julai 2022 kepada pengunjung selepas proses baikpulih yang mengambil masa sekitar 2 tahun ini terletak tidak jauh dari barat daya Hagia Sophia.
Takungan air bawah tanah yang meliputi kawasan sepanjang 138 meter dengan kelebaran 65 meter mempunyai tiang sokongan sebanyak 336 unit ini mampu menyimpan air sebanyak 80,000 meter padu.
Basilica Cistern menyumbang peranan yang penting pada zaman pemerintahan Byzantine Emperor Justinian I yang mana telah memulakan pembinaan pada tahun 532.
Walaupun Basilica Cistern ini tidak dibuka sepenuhnya kepada orang awam untuk kunjungan, ruang kunjungan tetap dapat memberikan satu pengalaman merasai suasana yang berbeza seperti berada di dunia lain. Keadaan bawah tanah yang agak malap dengan cahaya oren kemerahan membuatkan ada yang menyangka bahawa air takungan di sini berwarna merah walaupun ianya adalah sebaliknya. Perjalanan di atas pelantar dengan pencahayaan yang malap di sertai dengan bunyi air mengalir dan menitis menghidupkan lagi suasana yang menakjubkan.