Ramai betul yang pergi bercuti ke pulau sekarang ini. Secara puratanya, waktu yang sesuai untuk bercuti di pulau bermula pada bulan April sehingga bulan Oktober yang mana ianya adalah di luar musim tengkujuh.
Bagi memastikan percutian ke pulau menyeronokkan dan berjalan lancar, tujuh perkara berikut boleh disemak sebelum pergi bercuti:
1. Semak jangkaan cuaca pulau yang ingin dikunjungi
Sebaiknya anda menyemak jangkaan cuaca seminggu sebelum ke pulau percutian. Ini bagi membolehkan anda membuat perancangan barang keperluan yang hendak dibawa dan aktiviti yang ingin dilakukan.
2. Bawa beg pakaian yang bersesuai
Jika percutian ke pulau pilihan hanya menaiki bot kecil atau tiada jeti khas untuk turun, sebaiknya barang keperluan dan pakaian dibawa dalam beg galas dan bukannya bagasi. Pakaian yang dibawa juga hendaklah bersesuaian dengan cuaca dan aktiviti. Sekiranya ada membuat aktiviti mendaki selain dari menyelam atau snorkelling, pemakaian baju lengan panjang lebih sesuai supaya dapat mengelakkan kulit mudah terbakar dek cahaya matahari. Bagi yang suka ber’OOTD’ pula, bolehlah membawa pakaian yang sedondon mengikut tema.
3. Bawa barang keperluan untuk aktiviti
Selain beg pakaian yang sesuai, barangan seperti topi, cermin mata dan losyen sunscreen perlulah dibawa bagi menjaga kesihatan diri dari terikan panas matahari. Bagi anda yang merancang untuk mendaki atau menelusuri denai di hutan kecil, jangan lupa untuk membawa semburan penghalau serangga.
4. Bawa beg kalis air untuk aktiviti pantai
Beg yang kalis air paling sesuai untuk dibawa ketika melakukan aktiviti di pantai. Semua barang penting seperti telefon, duit, kunci dan barangan lain dapat diletakkan di dalam beg tersebut dan rendah risiko untuk basah andaikata terjatuh ke dalam laut.
5. Dapatkan maklumat berkenaan makanan yang disediakan
Hubungi tempat penginapan untuk mendapatkan maklumat berkenaan makanan yang disediakan. Dapatkan juga maklumat berkaitan restoran atau tempat makan yang ada di pulau percutian tersebut. Sekiranya sukar untuk mendapatkan tempat makan atau harga yang ditawarkan agak mahal, bolehlah anda menyediakan makanan mudah bawa bersama ke pulau percutian.
6. Semak keperluan permit
Ada sesetengah pulau percutian memerlukan anda untuk mendapatkan permit untuk pergi ke sana. Ini adalah untuk tujuan keselamatan dan juga penjagaan sistem ekologi lautan yang perlukan lebih kawalan dan pemantauan. Sila semak keperluan permit ini dan buat permohonan lebih awal.
7. Bawa wang tunai yang mencukupi
Kemudahan ATM bukanlah sesuatu yang mudah ditemui di pulau terutamanya pulau-pulau kecil. Kebiasaanya urusan jual-beli dan servis banyak menggunakan transaksi wang tunai. Selain membuat pembayaran tempahan awal secara atas talian, bawalah wang tunai yang mencukupi semasa percutian bagi memudahkan urusan semasa di pulau.