Berbunga-bunga rasa hati masa jumpa gambar ni dulu. Ingatkan hanya di Ukraine sahaja ada Tunnel of Love atau Terowong Cinta, rupanya di Romania pun ada. Permata tersembunyi Romania!
Selesai sarapan di Sibiu pagi tu, kami bergerak ke Caransebes yang terletak 210 kilometer dari penginapan kami. Apabila tengok paparan masa di GPS, perjalanan kami akan mengambil masa 2 jam 30 minit.
Dalam kepala sudah terbayang macam-macam pose nak suruh peserta trip beraksi bila bergambar di dalam terowong cinta ni nanti.
Setelah menyapa pengembala biri-biri Romani di kawasan lapang tempat pemandu bas menunggu kami, kami pun berjalan mengikut peta yang ditunjuk oleh Google Map.
“Betul ke ini tempatnya?”
Kami semua terpana seketika. “Kalau macam ni, kat Kelantan pun banyak.” kata Abang Man sambil gelak besar.
Jangankan berdaun lebat, ranting pokok di kiri kanan landasan keretapi lama ini bertaut pun tidak. Sejauh mata memandang kami cuba mencari spot seperti dalam gambar yang mengujakan hati kami untuk datang ke sini, tapi semuanya sama sahaja. Tiada tautan kasih antara pokok kiri dan pokok kanan landasan.
Syukurlah semasa perjalanan balik, kami singgah di Istana Hunedoara. Terubat penat perjalanan dengan melihat pemandangan di kawasan istana tempat penggambaran filem The Nun ini.