Nama ikan inggu agak asing di telinga kita di Malaysia. Tapi jika disebut ikan badut atau clown fish, pasti kita terbayangkan ikan kecil yang berwarna oren berjalur putih dan hitam sedang berenang-renang di kawasan terumbu karang. Finding Nemo! Iye, semua orang lebih senang memanggilnya ikan nemo. Tak ramai di antara kita yang tau bahawa ikan nemo satu ketika dulu pernah menjadi maskot semasa Sukan Malaysia SUKMA XII pada tahun 2008.
Ikan nemo memang banyak terdapat di kawasan terumbu karang di pulau-pulau perairan Terengganu. Bagi mereka yang pernah pergi snorkelling dan menyelam ke dasar laut Terengganu, semestinya lenggokan ikan nemo berenang di hadapan mata merupakan pengalaman yang amat mahal harganya. Ikan nemo ni bukan seperti ikan lain yang berenang ke sana ke mari. Ikan nemo hanya akan beraktiviti di sekitar terumbu karang yang didiaminya sahaja.
Bagi yang merancang percutian ke pulau peranginan di Terengganu, bolehlah menjejak ikan nemo semasa aktiviti snorkelling nanti. Ikan nemo banyak di temui di Teluk Keke di Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah.
Tapi ingat tau, jangan diusik dan diganggu habitat mereka. Ini kerana ikan inggu hanya boleh hidup di terumbu karang tempat lahirnya sahaja. Waima ke terumbu karang sebelah pun, mereka tidak betah. Jadinya, cukuplah kita menikmati keindahan dasar laut ini dengan melihat dan mengagumi kebesaranNya di situ sahaja dan tidak mengangkut mereka pulang bersama kita.