“Eh! Tak ramai orang buat tawaf, la. Mudah sikit nak buat tawaf sunat sikit lagi” kataku dalam hati penuh gembira tatkala melintasi skrin TV di lobi hotel.

Aku pun melangkah keluar dari hotel menuruni bukit untuk ke Masjidil Haram yang letaknya 500 meter dari hotel tempatku menginap. Sambil melangkah, hati tidak berhenti berzikir supaya tidak melencong ke kedai-kedai yang ada di laluan ke masjid. Ku titipkan juga satu permintaan kepada Allah pagi itu.

Selesai aku menunaikan tawaf sunat, aku berehat seketika di ruangan yang tidak jauh dari Kaabah. Tidak sampai 10 minit duduk, aku pun bangun semula dan cuba merapati Kaabah.

“Tolong. Tolong saya. Jangan tolak saya, saya nak keluar.” Tiba-tiba telingaku menangkap jeritan orang meminta tolong. Kelihatan seorang jemaah wanita Indonesia bersusuk kecil sedang terhimpit di hadapan pintu Kaabah oleh orang yang bertolak-tolak untuk mencium Hajar Aswad.

“Ibu. Ibu pegang tangan saya. Saya tarik ibu keluar.” kataku sambil menghulur tinggi tanganku kepada wanita itu. Perlahan-lahan aku berjaya menarik keluar wanita itu dari terus dihimpit. Semasa proses aku menarik keluar wanita itu dari ditolak dan dihimpit para jemaah, aku merasakan diriku sendiri telah ditolak para jemaah lain dan badanku terdorong bergerak ke arah yang berlawanan dengan jemaah wanita tadi. Aku hanya mengikut arus tolakan yang memaksa aku bergerak dengan mudah sekali ke penjuru Kaabah.

Iya! Aku kini betul-betul berdiri di hadapan Hajar Aswad.

.

.

“Ya Allah! Bestnya kalau aku dapat cium Hajar Aswad hari ni.” Itulah permintaan ringkasku pagi itu yang telah dikabulkanNya.