Bila dua ribu lebih jemaah umrah tidak dapat ke Mekah kerana ketiadaan penerbangan. Semasa kami terbang ke Iceland dan Norway juga berlaku kesukaran mencari penerbangan, ketika itu kami terdetik, adakah ini masanya.
Menurut Alirahim Rani, Pengurus Pemasaran Royal Brunei Airlines dalam satu perbualan kasual mengatakan bahawa kebanyakan syarikat penerbangan telah terbang dengan margin keuntungan yang tipis. Apabila dunia dilanda pandemik, syarikat penerbangan dijangka ketika itu bakal bangkit dengan harga yang selesa untuk beroperasi. Katanya, mungkin penumpang udara perlu bersedia kenaikan yang banyak sehingga sekali ganda dari harga hari ini.
Hari ini, kita menyaksikan harga penerbangan seperti sedang mengalami satu kenaikan mendadak. Ada sebab kenapa semua ini berlaku. Yang baiknya, ada penyebab ini adalah faktor sementara namun satu sebab lagi adalah faktor yang kekal. Berikut ialah beberapa sebab.
- Dunia mengalami masalah kekurangan juruterbang. Bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
- Laluan ke Timur Tengah sedang bersedia untuk trafik rancak Piala Dunia FIFA.
- Kebanjiran pelancong udara semasa musim panas
- Bila kesemua di atas berlaku hampir serentak.
Pada hari ini, harga penerbangan yang dahulu mudah kita dapat jika ke London sekadar RM3000 kini secara purata sudah berubah menjadi RM4500. Jika kita seorang pengembara yang membidik laman tiket-tiket penerbangan murah di laman web, kita akan perasan perubahan ketara ini.
Bagaimana boleh kurang juruterbang, ramai juruterbang keluar belum dapat kerja?
Apa jadi pada juruterbang yang dulu-dulu tak kan tak boleh terbang lagi?
Mudahnya begini, juruterbang pun perlu latihan semula jika sudah dua tahun tidak terbang apatah lagi juruterbang cadet yang baru sahaja keluar dari akademi penerbangan. Untuk mendapatkan juruterbang yang sedia untuk terbang, itu yang tidak ramai. Hujungnya, itu penyebab syarikat penerbangan tidak dapat menyediakan penerbangan yang banyak di kala warga dunia sedang kemaruk untuk mengembara kembali setelah dua tahun terkurung.
Apa yang merisaukan ialah, semua kenaikan ini adalah satu pengukuran kepada syarikat penerbangan memulakan fasa kenaikan harga tiket mereka. Selama ini mereka terbang dengan keuntungan kecil atau sangat mudah rugi, kini mereka akan terbang dengan margin selesa. Ini kerisauan kami sebagai pengembara udara.
Jika kerana Piala Dunia, nanti bila bola sudah habis harganya turun kembali. Jika kerana tiada juruterbang, nanti akan ada semula dan masalah selesai. Jika kerana kebanjiran pengembara udara, nanti waktu lengang, harganya mungkin turun.
Tetapi jika kerana ini satu peluang syarikat penerbangan naikkan margin untung mereka, bermakna dunia perlu berubah dan menerima hakikat bahawa pengembaraan udara bakal menjadi lebih kayangan dari sebelum ini.
Semua ini bermata rantai. Jika harga tiket penerbangan mengalami kenaikan, bersedialah bahawa industri pengembaraan juga bakal mengalami nasib yang sama kerana terpaksa menaikkan tambang pakej percutian mereka.
Masa itu, ialah sekarang.