Hari ni anak-anak semua teruja. Apa tidaknya, kami semua akan pergi bermain salji hari ni. Usai sarapan pagi yang disediakan sendiri di penginapan, kami semua bersiap-siap menunggu bas tiba di hadapan penginapan kami di Tokyo.
8:00 pagi:
Kami semua bergerak keluar dari bandar Tokyo menaiki bas yang kami sewa khas untuk pergi ke kawasan yang kami boleh melihat Gunung Fujiyama dari jarak yang lebih dekat sambil bermain salji. Perjalanan kami ke Fujiten Snow Park mengambil masa satu jam empat puluh lima minit.
9:45 pagi:
“Ya Allah, Salji!” kataku dalam hati dengan penuh keterujaan tatkala bas kami tiba di perkarangan luar Fujiten Snow Park. Rasanya keterujaan ini jika dipamerkan, sama aje aras keterujaannya tu dengan anak-anak peserta trip. Selama berpuluh tahun hidup, inilah kali pertama diriku dapat melihat salji. Turun sahaja dari bas, terus kaki melangkah laju ke arah salji di hadapan tangga masuk taman salji. Bibirku mengukir senyum tanpa sepatah perkataan keluar dari mulut. Gembira dan kagumnya tu, sampai terkaku dibuatnya.
10:00 pagi:
Semua peserta seronok bermain salji. Rata-ratanya bermain sledge tanpa mengira usia sambil berposing sakan untuk gambar dirakam lensa. Masing-masing beraksi dengan pelbagai gaya.
Setelah hampir 2 jam bermain salji dan bergambar dengan pelbagai aksi, kami menunaikan solat di ruang solat yang disediakan di Fujiten Snow Park sebelum kami pergi ke destinasi seterusnya.
1:00 petang
Kami bergerak ke Tasik Kawaguchi yang terletak tidak jauh dari taman salji. Setibanya di sana, kami sangat teruja dapat melihat Gunung Fuji tersergam indah dan jelas di hadapan mata. What a view, MashaAllah!
Kami meluangkan masa sekitar dua jam di sini untuk menikmati keindahan Tasik Kawaguchi dan Gunung Fujiyama serta makan tengahari.
3:30 petang:
Kami semua bergerak pulang ke penginapan kami di Tokyo dengan hati yang berbunga tanpa sepatah kata. Apa tidaknya, semua sudah lena kepenatan bermain salji.