Terengganu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan keindahan budaya dan juga kecantikan alam semulajadi. Antara daya tarikan alam semulajadi pengunjung ke Terengganu adalah pantainya yang sepanjang 244 kilometer menghadap ke Laut China Selatan. Pantai-pantai cantik ini dilengkapi dengan tompokan-tompokan pulau yang mengagumkan.
Mari kita kenali 7 pulau yang mempunyai keunikannya yang tersendiri di Terengganu.
1. Pulau Redang
Pulau Redang merupakan pulau yang paling besar di Terengganu. Ianya merupakan pulau yang terkenal dengan airnya yang jernih dan terumbu karang yang meriah di dasar laut. Pulau ini terkenal di kalangan penggemar aktiviti menyelam scuba. Bagi mereka yang tidak melakukan aktiviti menyelam scuba, pulau ini seringkali dikunjungi mereka yang ingin melakukan aktiviti snorkelling dan berenang bersama penyu di Taman Laut Pulau Redang.
Jika anda bernasib baik, anda dapat melihat anak penyu menetas di Turtle Bay yang juga di kenali sebagai Chagar Hutang. Untuk mereka yang suka berOOTD, bergambar di Busung Pasir adalah aktiviti yang tidak boleh dilepaskan.
2. Pulau Lang Tengah
Tidak ramai yang tahu akan kewujudan pulau ini. Pulau Lang Tengah ini kurang dikomersilkan. Walaubagaimanapun, pulau ini tetap aktif dengan aktiviti menyelam scuba, snorkelling, aktiviti menyelamatkan telur penyu dan memantau aktiviti pembiakan penyu, berkayak, jungle trekking dan aktiviti pantai. Pulau ini sesuai untuk mereka yang ingin berehat dengan tenang.
Pulau ini tidak banyak dikunjungi berbanding pulau yang berdekatan dengannya iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau kecil ini hanya mengambil masa 10 minit sahaja apabila dikelilingi oleh bot. Sungguhpun begitu, pulau ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Pasir pantai berwarna biru!
3. Pulau Perhentian
Pulau Perhentian terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar yang lebih banyak pembangunan berbanding Pulau Perhentian Kecil. Kedua-dua pulau ini amat cantik dan menenangkan untuk mereka yang ingin datang berehat di sini. Pemandangan yang cantik tatkala matahari terbit dapat dinikmati dari tepi laut sahaja selain dari mendaki bukit di kawasan kincir angin untuk mendapatkan pemandangan matahari terbit yang lebih cantik.
Pulau ini juga terkenal dengan aktiviti bersama penyu, snorkelling dan boleh melakukan aktiviti menyelam scuba tanpa lesen.
4. Pulau Bidong
Populariti Pulau Bidong jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pulau-pulau lain di Terengganu. Pulau Bidong yang juga dikenali sebagai pulau nyawa kedua oleh pelarian perang Vietnam atau Pulau Vietnam oleh penduduk tempatan. Pulau ini menjadi pulau larangan semenjak tahun 1976 sehingga 1991. Seramai 60,248 orang pelarian telah menempati pulau ini pada tahun 1978.
Pulau Bidong telah dibuka kepada pelancongan pada tahun 2017 di mana hanya terhad kepada lawatan sehari sahaja dengan bilangan pengunjung yang terhad. Jika pengunjung ingin bermalam di pulau ini, mereka hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Pulau yang tidak mempunyai hotel, resort, restoran dan kemudahan yang sempurna tetap menjadi destinasi kegemaran buat pencinta sejarah, aktivis alam semula jadi dan peminat aktiviti snorkelling dan selam scuba.
Pulau Bidong mempunyai banyak batu karang yang kita tidak perlu pun menyelam jauh untuk melihatnya di dalam air. Di sini juga terdapatnya pusat inkubator pembiakan batu karang yang melakukan pembiakan koloni batu karang di beberapa lokasi dasar laut sekitar Pulau Bidong. Terdapat banyak lokasi selaman di pulau ini dan salah satu tarikan baru ialah tapak selaman ASEAN yang mempunyai 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN.
5. Pulau Kapas
Pulau Kapas mendapat nama sempena pasir pantainya yang putih umpama kapas. Pulau Kapas terletak tidak jauh dari Pantai Marang. Perjalanan menaiki bot hanya mengambil masa sekitar 10-15 minit sahaja.
Pulau Kapas mempunyai banyak kawasan untuk aktiviti snorkelling dan selam scuba di sekitar pulaunya. Banyak terumbu karang keras dan lembut boleh dilihat di sini juga. Tidak jauh di hujung pulau, terdapat lokasi snorkelling yang mempunyai banyak hidupan laut yang boleh dilihat seperti gamat, ikan buntal, kuda laut, sotong, ikan-ikan kecil dan juga penyu.
Pulau Kapas tidak kurang hebat dan cantik jika dibandingkan dengan Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Banyak hotel dan resort disediakan untuk pengunjung.
Selain aktiviti laut, pengunjung juga boleh mendaki Bukit Singa untuk melihat keindahan pulau dar aras yang tinggi.
Tidak jauh di utara Pulau Kapas, terdapat sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Gemia.
6. Pulau Gemia
Pulau Gemia terletak 800 meter daripada Pulau Kapas. Pulau ini mendapat nama sempena pokok kundang yang juga dikenali sebagai pokok gemia yang terletak di puncak bukit pulau. Pulau persendirian ini terkenal di kalangan pelancong asing yang sukakan suasana yang tenang dan damai. Mereka bercuti di sini untuk berehat dan lari dari kesibukan kota.
Tidak jauh beza dengan pulau lain, aktiviti seperti snorkelling, hiking dan selam scuba juga boleh dilakukan di sini.
7. Pulau Tenggol
Pulau Tenggol berada paling selatan berbanding pulau-pulau lain di Terengganu. Lokasi pulau ini terletak di daerah Dungun. Pulau ini kurang dikunjungi oleh pengunjung tempatan tetapi merupakan destinasi yang paling disukai oleh para penyelam scuba.
Pulau Tenggol mempunyai lebih 20 lokasi selaman yang mempunyai terumbu karang yang sihat dan sedikit berbeza dari pulau-pulau lain yang terdapat di Terengganu. Di sini juga terdapatnya spesis penyu yang lain berbanding Pulau Perhentian dan Pulau Redang selain menjadi habitat bagi ikan jerung paus. Terdapat juga tinggalan rangka kapal di dasar laut berhampiran pulau ini.