Percutian ke Turki diibaratkan tidak lengkap jika tiada kunjungan ke tapak warisan UNESCO, Cappadocia. Wilayah bersejarah Cappadocia ini membuatkan kita seperti berada di alam cerita dongeng. Bentuk permukaan buminya seolah-olah seperti di bulan.
5 perkara di bawah adalah sebab kenapa ramai pengunjung ke Turki tidak mahu melepaskan peluang untuk ke Cappadoccia:
1. Pemandangan yang cantik semasa matahari terbit
Bayangkan semasa matahari mula terbit, warna langit yang sangat cantik hasil pancaran matahari terbit di ufuk timur dapat dinikmati dari jendela penginapan. Nun di kejauhan, kelihatan pula berpuluh-puluh belon udara panas sedang terbang di langit melintasi fairy chimney di bumi. Serasa seperti tidak percaya ada suasana begini di alam nyata. Biasanya suasana begini hanya wujud di dalam cerita dongeng sahaja.
2. Terbang menaiki belon udara panas melihat Cappadocia dari udara
Sungguh romantis sekali jika dapat terbang menaiki belon udara panas bersama yang tersayang. Terbang perlahan menelusuri kota Cappadocia, Rose Valley, Pigeon Valley, Fairy Chimney dan tempat lain lagi sedari langit berwarna oren keemasan sehinggalah langit cerah berudara dingin. Jika tidak romantis, masakan ada yang melamar sang pujaan hati ketika terbang bersama di sini.
3. Meneroka keindahan dan keajaiban alam di Cappadocia dengan berkuda
Bagi mereka yang suka menunggang kuda, sudah pasti aktiviti meneroka Cappadocia secara berkuda tidak akan dilepaskan. Walaupun aktiviti ini memerlukan masa yang lebih dari sehari, tetapi kepuasan yang diperolehi memang berbaloi. Jika dengan menaiki belon udara kita hanya melihat pemandangan Rose Valley dan Fairy Chimney dari pandangan burung, dengan berkuda kita dapat menelusuri kawasan-kawasan fairy tales ini seperti gayanya seorang koboi. Iye, koboi versi Turki.
4. Merasai pengalaman unik tidur di dalam hotel gua.
Penduduk Cappadocia suatu ketika dahulu tinggal di dalam kota bawah tanah dan juga di dalam gua. Para tukang pada zaman tersebut menebuk, mengukir batu-batuan dan gua untuk menjadikannya kawasan penempatan mereka. Mereka membina tempat tinggal, istana, gereja dan juga biara.
Walaupun zaman telah beredar, struktur dinding batu dan binaan masih dikekalkan walaupun sudah disuntik rekaan yang mengikut peredaran zaman. Hotel gua sudah mempunyai pemanas elektrik bagi menggantikan pendiang, penghawa dingin dan juga kemudahan bilik air yang moden. Walaubagaimana pun, mereka masih menggunakan perabut dan tekstil tempatan untuk dekorasi.
5. Pemandangannya cantik sepanjang tahun
Cappadocia memang sesuai untuk dilawati tidak kira apa musim sekalipun. Setiap musim ada kecantikannya yang tersendiri. Walaupun ada beberapa aktiviti tidak boleh dilakukan pada musim salji, tetapi Cappadocia tetap dikunjungi. Kurang pengunjung pada musim salji membuatkan kita tidak perlu beratur lama untuk mendapatkan giliran di sesuatu kawasan tarikan. Pemandangan dari atas belon udara panas menyaksikan Fairy Chimney memutih diselaputi salji juga sangat cantik. Bagi yang suka mendaki pula, suhu yang tidak panas membuatkan mereka lebih selesa walaupun perlu menggunakan kasut dan pakaian yang sesuai dengan cuaca bersalji.