Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu dan pernah sampai ke Oeschinensee biarpun telah berkali pergi ke Switzerland. Oeschinensee terletak tidak jauh daripada Kanderstag yang mana jaraknya hanya 1.24km dan mengambil masa perjalanan selama 7 minit sahaja. Dari kaki gunung, kita boleh menaiki lif gondola untuk ke Rodelbahn Oeschinensee yang mengambil masa sekitar 5 minit sahaja berbanding jika kita mendaki hingga ke puncak.

Salah satu aktiviti wajib cuba jika ke Oeschinensee ini ialah menaiki gelongsor toboggan sepanjang 750 meter dengan beza aras ketinggian mencecah hampir 150 meter. Semasa menuruni gelongsor kita dapat menikmati keindahan alam yang indah dan udara yang nyaman walaupun ketika itu adrenalin sedang berentak kencang. Hal ini buatkan jiwa menjadi muda seketika.

Bagi mereka yang kurang berani bermain gelongsor ini biarpun ianya sesuai untuk semua peringkat usia, perjalanan ke Oeschinensee bukanlah sia-sia kerana terdapat aktivti lain boleh dilakukan di sekitar tasik biru Oeschinensee. Mendayung sampan bersama yang tersayang di Tasik Oeschinensee dapat menyemarakkan lagi suasana romantis semasa percutian. Berkelah bersama keluarga sambil menghadap tasik juga amat menyeronokkan.